• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Tolong Buat Saringan COVID-19 Jika Terpaksa Rentas Negeri

KUALA TERENGGANU, 14 Julai - Kerajaan Terengganu merayu kepada mana-mana individu yang terpaksa merentas negeri atau pulang ke kampung atas urusan tertentu supaya melakukan ujian saringan COVID-19 terlebih dahulu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, ia susulan beberapa kluster sebelum ini termasuk yang terbaru iaitu Kluster Gajah Mati, Bukit Besi mempunyai kaitan dengan aktiviti rentas negeri.

“Apabila mereka pulang daripada negeri lain terutama kawasan merah ia membawa risiko yang besar kepada kaum keluarga, walaupun pada awalnya individu terbabit tidak bergejala.

“Jadi kita harap mereka yang berada di kawasan merah buat masa ini jangan balik lagi, kalau terpaksa balik juga kerana sebab tak dapat dielakkan, pastikan kita sudah mendapat dua suntikan vaksin dan membuat penilaian risiko atau ‘swab test’ untuk pastikan kita bebas sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran dalam ‘Berita Awok Kite’ di Facebook UPDI hari ini.

Menurutnya, sekiranya langkah itu tidak diambil penularan COVID-19 di negeri ini tidak akan berkesudahan.

Katanya, peningkatan kes juga boleh menyebakan Terengganu kembali ke fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

”Ia akan menyusahkan keluarga kita sendiri, jiran-jiran dan orang berhampiran juga akan terkena tempias.

“Ini lah perkara yang sangat membimbangkan kita dan kita boleh lihat kes meningkat ke angka 189 kes hari ini.

“Oleh sebab itu, saya sangat merayu agar kita semua mengambil berat tentang perkara ini,” katanya.

Untuk rekod, dua lagi kluster baharu di Terengganu direkodkan hari ini iaitu Kluster Kluster Bukit Tok Bat yang juga mepunyai kaitan dengan merentas negeri dan Kluster Murni Perdana.


Tag: