• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Tongkang Terlanggar Paip SATU, Ribuan Pengguna Di Paka Terjejas

DUNGUN, 18 Januari - Ribuan akaun pengguna air di kawasan Paka dan Kerteh dijangka terjejas susulan insiden paip Syarikat Air Terengganu (SATU) di Jambatan Paka, di sini dilanggar tongkang dalam kejadian petang ini.

Perkara itu dimaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Datuk Satiful Bahri Mamat menerusi hantaran di laman Facebooknya kira-kira jam 4 petang Rabu.

Menurut hantaran itu, Satiful berkata, sewaktu kejadian tongkang milik kontraktor tersebut difahamkan sedang menjalankan kerja-kerja pembaikian paip berkenaan yang hampir patah akibat dilanggar sebuah bot sebelum itu

Tambah beliau, sebagai penyelesaian sementara, sumber air alternatif akan diambil dari Loji Rawatan Air (LRA) Kemudi, Serdang.

"Untuk pengguna Felda Kerteh 2 dan Felda Kerteh 3 serta Ketengah Jaya yang terjejas, pihak Satu akan menghantar bekalan air dengan lori tangki,” ujarnya.

Justeru itu katanya, pengguna disarankan membuat persiapan seperti menadah dan menyimpan air terlebih dahulu kerana dikhuatiri berlaku gangguan bekalan air.