• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Transformasi Pelancongan, Pertanian Lonjak Ekonomi Terengganu

KUALA TERENGGANU, 12 Mei - Fokus berterusan kerajaan Terengganu sepanjang tiga tahun ini dalam aspek pelancongan dan pertanian membuahkan hasil apabila dua sektor itu menyumbang kepada peningkatan ekonomi negeri.

Mandat yang dipikul oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam menggerakkan agenda transformasi pembangunan negeri terus giat dilakukan walau menghadapi pelbagai cabaran dan kekangan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia Terengganu Telemong, Mohamad Yusuf Abdullah berkata, kerajaan negeri memainkan peranan penting dalam merencana dasar dan inisiatif bersesuaian dengan sosioekonomi rakyat bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negeri yang mampan.

“Pelancongan merupakan antara sektor utama yang menyumbang kepada pendapatan negeri. Lebih-lebih lagi apabila mercu tanda ikonik Terengganu, jambatan angkat atau drawbridge telah dinobatkan sebagai Ikon Baharu Malaysia Terbaik tahun 2020 pada Anugerah Kecemerlangan Pelancongan Dunia 2020.

“Pengiktirafan sebegini merupakan satu pencapaian tertinggi yang memberi impak besar kepada sektor pelancongan di Terengganu,” katanya menerusi laman facebook.

Menurutnya, pengisytiharan tahun 2021 sebagai Tahun Pertanian Terengganu 2021 merupakan salah satu pendekatan kerajaan negeri bagi memperkasakan sektor pertanian di Terengganu.

Jelasnya, peningkatan peruntukan dalam Belanjawan 2021 kepada sektor pertanian berbanding tahun sebelumnya adalah bukti komitmen Kerajaan Negeri setelah mendengar keluhan dan rungutan rakyat yang terlibat dalam sektor pertanian.

“Dalam pada itu, Kerajaan Negeri sentiasa komited memastikan hal ehwal kebajikan rakyat sentiasa terpelihara dengan pelbagai inisiatif pertanian seperti Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) dan Tabung Bencana Pertanian. Insentif sebegini sedikit sebanyak telah meringankan beban golongan petani, penternak dan nelayan yang sering terkesan pada hujung tahun berikutan fenomena musim tengkujuh.

“Secara ringkasnya, jika diimbas kembali, pelbagai bentuk ikhtiar dan inisiatif telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan ekonomi negeri mencapai pertumbuhan yang meyakinkan lagi dibanggakan demi kepentingan dan keperluan rakyat,” katanya.

Justeru, amatlah wajar untuk setiap rakyat berganding bahu dan bersama-sama seiringan dengan Kerajaan Negeri bagi memastikan hasrat murni yang dirancang dan dicita-citakan menjadi kenyataan.

"Hal ini kerana, tanggungjawab bagi membangunkan sesebuah negeri itu terletak pada bahu setiap warganya dan bukan hanya sebelah pihak sahaja," tambah beliau

 


Tag: