SETIU, 28 Disember - Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris hari ini, mengumumkan 'True Terengganu' sebagai slogan baru pelancongan negeri bagi menggantikan 'Beautiful Terengganu'.
Beliau yang ditemui selepas merasmikan penutup Pesta Maing Hujang di Desa Pancaran Delima, di sini memaklumkan bahawa penjenamaan semula itu dibuat sebagai salah satu strategi produk dalam persediaan untuk Tahun Melawat Terengganu 2027.
Bertemakan 'The Real Unique Experience', Terengganu menyasarkan lebih ramai pelancong dalam dan luar negara dengan mengetengahkan pelbagai produk yang memberikan pengalaman unik kepada pengunjung.
Tambahnya, keunikan Terengganu dapat dilihat menerusi keunikan alam semula jadinya yang pelbagai, budaya masyarakatnya yang memikat dan pengalaman berbeza ketika pengunjung luar bergaul dengan penduduk tempatan.
"Tema 'Beautiful Terengganu' ini sudah lama dan kita rasa sudah boleh kita tambah nilainya.
"Jadi, kita pergi kepada tema yang lebih terkehadapan iaitu 'True Terengganu', membawa maksud inilah dia Terengganu yang penuh 'nature' (alam semula jadi), 'culture' (budaya) dan 'experience' (pengalaman)," jelasnya.
Berdasarkan rekod, sehingga Disember ini Terengganu telah berjaya mencapai sasaran 8.5 juta pengunjung pada tahun 2025.
Daripada jumlah itu, seramai 7,204,889 adalah pengunjung tempatan manakala bakinya 1,370,916 pelancong asing yang menyumbang kira-kira RM6.7 bilion kepada ekonomi negeri.
