• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

TSM Labur RM500 Juta Bangun Industri Silika

MARANG, 17 Mei - TRG Silica (Marang) Sdn Bhd (TSM) akan membangunkan industri pengeluaran silika ultra tulen dan kristobalit yang bernilai RM500 juta di sini, pada Julai.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli merasmikan Pecah Tanah Projek Cristobalite dan Ultra Purity Industrial Silica Trg Silica (Marang) di sini semalam.

Keberangkatan tiba baginda disambut, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.

Pengerusi Kumpulan Terengganu Silica Consortium Sdn Bhd, Datuk Seri Tengku Baharuddin Sultan Mahmud berkata, pengeluaran silika tersebut merupakan bahan utama penghasilan kaca teknologi maju. 

Katanya, projek di kawasan seluas 1,000 hektar yang pertama di Asia itu dijangka mengambil tempoh pelaburan selama lima tahun.

“Pembangunan projek itu akan turut menawarkan 250 peluang pekerjaan khususnya kepada rakyat Terengganu.

“Projek fasa pertama yang dijangka siap pada 2024 itu akan mengeluarkan produk silika terbabit pada kapasiti 2.6 juta tan metrik.

“Ia bertujuan untuk kegunaan industri hiliran domestik serta antarabangsa,” katanya pada sidang media selepas majlis pecah tanah projek itu di Kampung Jambu Bongkok, Merchang, semalam.

Tambah Tengku Baharuddin, pelaburan tersebut turut membabitkan pembinaan sebuah terminal untuk penghantaran produk ke luar negara termasuk Korea Selatan, Taiwan dan China.

“Ini kerana produk yang dikeluarkan ini adalah paling tulen dan bagi menjamin kualitinya, ia tidak boleh dihantar menggunakan pelabuhan lain.

“TSM juga bekerjasama dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi mempromosi dan menggalakkan lebih banyak pelaburan asing dalam sektor hiliran, khususnya di Terengganu,” ujarnya.

Di samping, pemangkin bagi pelaburan langsung asing (FDI) menerusi kewujudan industri hiliran silika seperti kaca telefon bimbit, televisyen dan sebagainya di Terengganu dan Malaysia.

 


Tag: