• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Tuah Rezki Putri Uda Mahu Jadi Contoh Bangsa Muda Orang Asli

KUALA NERUS, 27 Januari- “Saya sangat gembira dan bersyukur serta mahu menjadi contoh yang terbaik untuk bangsa muda orang asli," kata Tuah Rezki Putri Uda.

Tuah Rezki, 23, menerima Diploma Pengajian Bank yang disampaikan oleh Naib Canselor, Prof. Dr. Fadzli Adam bersama 254 graduan yang lain di Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ke-12, di sini, hari ini.

Tuah dari suku kaum Semai merupakan anak kelima dari enam beradik kini menyambung pegajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains Sukan dan Rekreasi di UKM, Bangi.

Bapa Tuah, Minit a/l Bah Los, 59, dan ibunya, Juliana a/p Bah Uda, 54, tidak dapat hadir pada majlis konvokesyen kerana tiada kenderaan dan perjalanan yang agak jauh.

“Walaupun saya datang seorang diri, saya tetap bangga kerana dapat menamatkan diploma dan menyambung pengajian di peringkat sarjana muda demi mengubah nasib hidup keluarga saya.

“Sepanjang pengajian diploma banyak perkara yang saya belajar sendiri dari segi pelajaran, pengurusan kewangan, pengurusan diri dan berkomunikasi dengan rakan-rakan," katanya yang berasal dari perkampungan orang Asli Chenderong Kelubi, Perak. 

Katanya lagi, menjadi seorang perempuan Orang Asli yang berpelajaran tinggi dan berkarier adalah impian Tuah agar dapat menjadi contoh untuk diikuti oleh orang asli yang lain.

“Saya tidak pernah malu menjadi orang asli sebab saya nak orang asli ini setara dengan bangsa yang lain”, katanya yang bercita-cita menajdi seorang pensyarah.