• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Tuan Ibrahim Bawa Pendirian Negara ke COP26

KUALA NERUS, 6 November - Menter Alam Sekitar dan Air, Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, beliau bakal mengetuai delegasi negara ke Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP26) 2021 di Glasgow, Scotland pada 8 hingga 12 November ini.

"Jawatankuasa perundingan diketuai Ketua Setiausaha KASA, Dr Zaini Ujang telah pun pergi untuk sesi rundingan awal dan saya akan menyampaikan pendirian negara dalam COP26 bagi peringkat menteri yang bermula pada 9-10 November ini.

"Kerajaan telah bersetuju menandatangani dua deklarasi iaitu tentang penebangan hutan dan tentang pelepasan gas methane di mana Malaysia berusaha mengurangkan pelepasan gas tersebut pada kadar 20 peratus menjelang 2030," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika Muktamar Tahunan PAS di Duyong Marina & Resort, hari ini.

Jelasnya, melalui Majlis Tindakan Perubahan Iklim (MyCAC) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Malaysia komited bersama dunia untuk mengekang perubahan iklim yang berlaku.

"Pendirian negara telah kita putuskan sebelum ini dalam MYCAC yang melibatkan banyak menteri dan kesemua menteri besar dan ketua menteri.

"Kita menetapkan sasaran Negara Karbon Neutral seawal tahun 2050, bergantung kepada laporan aktiviti dan pelan yang disediakan yang kita jangka akan disiapkan pada 2022," katanya.


Tag: