• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Tubuh Task Force Tangani Ancaman Ulat Bungkus



KUALA TERENGGANU, 18 Disember-  Kerajaan negeri akan menubuhkan pasukan petugas khas (Task Force) bagi menangani serangan ulat bungkus di dua kawasan ladang kelapa sawit di Terenganu.

Kawasan Felda Kerteh 5 dan Felcra Seri Bandi di Kemaman yang berkeluasan 1,400 ekar milik 100 peneroka  kembali diserang ulat itu sejak November tahun lalu selepas kejadian terdahulu pada 2015.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri, Dr Azman Ibrahim, berkata pasukan khas itu akan dianggotai beberapa agensi berkaitan termasuk, Felda, Felcra,  Ladang Rakyat, TDM Berhad dan tidak dilupakan  peneroka dan pekebun kecil.

Katanya, langkah awal yang akan diambil menanam puluhan spesis cassia, cobanesis  dan  turnera subulata, selain membuat semburan racun terhadap daun dan suntikan pada batang kepala sawit secara berkala.

“Pendekatan itu sangat diperlukan bagi mengelak ancaman ulat bungkus merebak ke seluruh kawasan ladang sawit, di mana kini telah menyerang kira-kira 1,000 ekar daripada 1,400 ekar milik peneroka.

“Walupun saiznya kecil namun  ulat bungkus spises  metisa plana, pteroma pendula dan mahasena corbetti itu mampu merosakkan keseluruhan pokok kelapa sawit sehingga kering dalam tempoh 77 hari,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berkaitan ancaman ulat bungkus terhadap kelapa sawit, di Wisma Darul Iman, petang semalam

Dr Azman turut memberitahu cara pembiakan ulat itu, bukan faktor hujan atau musim kemarau, sebaliknya  penyebaran melalui udara (angin),  lebih mudah menyerang sekiranya  pokok kelapa sawit berada di laluan kenderaan.

“Akibat itu, peneroka yang terlibat mengalami kerugian yang agak besar di mana hanya memperoleh 40 metrik tan hasil buah berbanding 10 metrik tan hasil daripada pokok segar.

 “Perkara itu pastinya memberi kesan kepada peneroka dan pekebun kecil yang bergantung harap sepenuhnya kepada hasil sawit untuk menyara kehidupan seharian dan keluarga,”katanya.



Tag: