• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Tuisyen Rakyat Bantu Pelajar Tingkat Kefahaman

DUNGUN, 18 Januari- Calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang terpilih menyertai Tuisyen Rakyat diharap dapat meningkatkan kefahaman masing-masing sekaligus membantu mengekalkan kecemerlangan anak Terengganu dalam peperiksaan tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, tuisyen anjuran kerajaan negeri  itu diadakan secara percuma di 32 DUN  dalam Terengganu. 

"Di DUN Rantau Abang seramai 283 orang pelajar terpilih, mereka merupakan pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Pulut, SMK Balai Besar, SMK Pulau Serai dan SMK Kompleks Rantau Abang(KORA) sebagai pecutan akhir untuk menduduki SPM pada Februari nanti," katanya.

Alias berkata demikian dalam ucapan ringkas di Dewan Sivik Seberang Pintasan yang merupakan tempat Tuisyen Rakyat untuk pelajar-pelajar SMK Pulau Serai dan SMK KORA.

Nurul Iftiliana(bertudung putih) bersama rakan-rakan sekelasnya yang turut terpilih ke Tuisyen Rakyat 

" Peluang untuk menyiapkan diri menjawab soalan SPM dalam tiga mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik seharusnya digunakan sebaiknya dengan memberi tumpuan sepenuhnya memandangkan yang memberi tunjuk ajar ini adalah guru-guru pakar dalam bidang masing-masing, "ujarnya. 

Manakala untuk pelajar-pelajar SMK Balai Besar dan SMK Padang Pulut masing-masing di Dewan Masjid Balai Besar dan Dewan Serbaguna SMK Padang Pulut.

Sementara itu seorang pelajar yang ditemui, Nurul Iftiliana Mohd Syukri dari SMK Pulau Serai, gembira berpeluang dipilih untuk mengikuti kelas tuisyen tersebut.

"Saya gembira sebab tidak semua pelajar dapat disamping, banyak ilmu saya dapat sepanjang kelas di sini yang tidak dapat di kelas tuisyen berbayar, ini akan membantu saya dalam menjawab soalan-soalan mata pelajaran terutama subjek  yang saya lemah iaitu matematik, " jelasnya yang bercita-cita untuk menjadi seorang kaunselor. 


Tag: