• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Tujuh Beranak Hilang Tempat Berteduh Dapat Perhatian MB

MARANG, 21 Jun - Peristiwa tragis tujuh beranak yang hilang tempat berteduh akibat kebakaran mendapat perhatian Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung, Mohd Nor Hamzah berkata, Ahmad Samsuri hadir ke tempat kejadian di Kampung Batu 9, Bukit Payong semalam dan mahu agar bantuan segera disalur kepada keluarga terbabit.

Katanya, susulan itu, keluarga Abd Wahab Ismail akan ditempatkan di rumah sewa sementara milik orang kampung dan bantuan lain akan menyusul.

“Dalam jam sekitar 9 malam semalam, Saya bersama MB bergegas ke rumah Abd Wahab untuk meninjau apa-apa keperluan yang perlu disalurkan segera.

“Kebakaran yang difahamkan berpunca daripada litar pintas telah memusnahkan keseluruhan rumah, akibatnya mangsa hanya tinggal sehelai sepinggang kecuali sebuah kereta yang sempat diselamatkan,” katanya menerusi Facebook rasminya, semalam.

Kejadian yang berlaku pada 4.50 petang itu turut melibatkan kanak-kanak berusia tiga tahun dan 12 bulan, namun kedua-duanya dilaporkan selamat.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wakaf Tapai, Khairul Azmi Ismail, pihaknya menerima panggilan pada 5 petang, susulan itu tiga jentera termasuk dari BBP Kuala Terengganu dikejarkan ke lokasi.

"Anggota mengambil masa selama 30 minit untuk kerja-kerja pemadaman dan selesai sepenuhnya pada 6.10 petang,” katanya sepertimana dilaporkan Harian Metro.