Khidmat Malaysia Anjur Dapur Rakyat Ringankan Beban Mangsa Banjir
KEMAMAN, 25 Januari- Kerajaan negeri akan membina tujuh buah rumah baharu untuk keluarga yang terlibat dalam kebakaran di Taman Islam Kampung Bakau Tinggi di sini, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, pembinaan kediaman itu adalah melalui peruntukan Tabung Darul Iman.
"Saya telah meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan secepat mungkin laporan dan hantar ke Tabung Darul Iman untuk saya angkat dan meluluskan peruntukan rumah PPRT yang bernilai RM60,000 sebanyak tujuh unit.
"InsyaAllah, kita akan segerakan pembinaannya bermula Mac ini dan berharap menjelang Aidilfitri keluarga terlibat dapat berpindah ke rumah baru," ujarnya ketika dihubungi pemberita, hari ini.
Hanafiah yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai turut menyampaikan sumbangan segera berbentuk bantuan kewangan ketika menziarahi mangsa kebakaran.
"Saya juga telah memohon dengan JKM untuk menyediakan makanan tiga kali sehari sehingga mangsa kebakaran dapat tempat tinggal yang selesa.
"Setakat ini mereka ditempatkan dirumah tetamu di pejabat Taman Islam dan ada juga yang balik ke rumah keluarga," katanya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan ucapan takziah kepada mangsa terlibat disamping mengucapkan terima kasih kepada yang membantu memadamkan kebakaran.
"Terima kasih kepada semua anggota bomba, JPKK serta orang ramai yang telah memberi khidmat mereka bagi memastikan kebakaran ini tidak merebak ke rumah yang lain," katanya.
Dalam kejadian kebakaran kira-kira pukul 7.40 pagi tadi, seramai 32 penduduk di taman berkenaan hilang tempat tinggal sekelip mata, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.