• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Tujuh Lokaliti Paka Dikenakan PKPD Akibat Kluster Komuniti

KUALA TERENGGANU, 27 Ogos - Sebanyak tujuh lokaliti dalam Mukim Paka, daerah Dungun di Terengganu akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) serentak bermula Sabtu ini.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad berkata, penguatkuasaan selama tempoh dua minggu sehingga 10 September depan diputuskan setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta jangkitan Covid-19.

Lokaliti terlibat ujarnya, ialah Bandar Paka, Gong Gemia, Cacar Baru, Limbong, Kuala Paka, Taman Indah Permai dan Telaga Mas yang membabitkan sejumlah lebih 10,000 penduduk.

“Antara punca pelaksanaan PKPD di sini akibat Kluster komuniti iaitu Kampung Limbong melibatkan seorang penduduk tempatan bergejala yang berusia 55 tahun disahkan positif Covid-19 pada 16 Ogos dan menjangkiti 53 orang sehingga semalam," katanya.

Menurut laporan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dungun merupakan daerah kedua tertinggi mencatatkan sejumlah 108 kes positif harian Covid-19 semalam, daripada jumlah keseluruhan kes penularan tempatan dalam negeri iaitu 543 kes.