• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Tujuh Varian Delta Dikesan Di Terengganu Sehingga Hari Ini

KUALA TERENGGANU, 1 September – Sehingga hari ini, Terengganu telah merekodkan tujuh kes varian membimbangkan (VOC) melibatkan varian Delta (B.1.617.2) sejak pertama kali dikesan pada akhir Julai lalu.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, Terengganu adalah negeri kedua terendah dari segi jumlah varian Delta di Pantai Timur, selepas Pahang (38 kes) dan Kelantan (tiga).

Katanya, negeri ini turut merekodkan sembilan kes positif virus tempatan dengan VOC Beta (B.1.351).

"Malaysia mengesan tambahan 265 kes COVID-19 membabitkan varian membimbangkan (VOC) antara 16 hingga 29 Ogos lalu hasil kajian berterusan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Integrative Pharmacogenomics Institute (iPROMISE) Universiti Institut MARA (UiTM) Selangor, dan Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

“Varian Delta sudah dikesan di seluruh negara dan Sarawak merekodkan kes varian Delta tertinggi di negara ini dengan 696 kes atau 71 peratus daripada 978 kes yang dikesan di Malaysia,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak menyeru seluruh penduduk Terengganu supaya lebih berwaspada dan meningkatkan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

"Dulu kita kata, jarak satu meter sudah cukup, tapi apabila virus melalui udara kita kena jarak sekurang-kurangnya tiga meter memandangkan varian tersebut boleh masuk di mana sahaja bahagian muka, samada hidung, mulut, atau mata walaupun memakai pelitup muka," katanya.