• 25 Okt 2021 | 18 Rabiul Awal 1443

Tukang Gunting Rambut Di DUN Air Putih Dapat Perhatian

KEMAMAN, 3 Februari - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang diumumkan oleh kerajaan mulai 22 Januari yang lalu turut menjejaskan pendapatan para peniaga seperti tukang gunting rambut apabila premis mereka terpaksa ditutup sepanjang tempoh ini bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab Razak Ibrahim ketika ditemui melahirkan rasa kebimbangan beliau kepada semua yang terjejas.

“Saya amat bersimpati terhadap mereka yang terjejas pendapatannya ekoran pandemik COVID-19. Pihak Pejabat DUN akan berusaha membantu mana yang termampu agar tiada pihak yang tercicir daripada mendapat bantuan," katanya.

Cakna akan kesempitan yang dihadapi oleh golongan ini, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Air Putih telah mengambil inisiatif memberikan bantuan segera kepada mereka yang terjejas.

Program yang berlangsung pada 2 Februari 2021 menyaksikan seramai 64 orang tukang gunting rambut di seluruh kawasan itu hadir bagi menerima sumbangan. 

“Diharapkan semoga dengan bantuan yang tidak seberapa ini dapat mengurangkan sedikit sebanyak bebanan yang ditanggung oleh mereka ini,” tambah beliau lagi.

Rata-rata tukang gunting yang hadir melahirkan rasa kesyukuran atas kecaknaan pihak pejabat DUN terhadap kesusahan mereka. Masing-masing menerima sumbangan berupa wang ringgit dan barangan keperluan dapur.

Program agihan sumbangan itu turut mendapat kerjasama daripada Pemuda DUN Air Putih dan Jabatan Amal DUN Air Putih. Agihan sumbangan telah diadakan dengan penuh serba ringkas dan mematuhi Prosedur Operasi Standard yang telah ditetapkan.


Tag: