• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Tunai Manifesto, Generasi Kedua Peneroka Felda Neram 1 Terima Lot Tapak Kediaman

KEMAMAN, 26 September - Kerajaan Negeri Terengganu membuktikan bahawa manifesto yang dijanjikan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu bukan sekadar janji kosong apabila sebanyak 79 lot tapak  kediaman diserahkan kepada generasi kedua anak-anak peneroka Felda Neram 1 baru-baru ini.

Bertempat di Dewan Felda Neram 1, para peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) dari Felda Neram 1, Kemaman kini mampu tersenyum lega setelah menerima lot tapak bangunan kediaman masing-masing di dalam Majlis Undi Lot RTB yang lalu.

Rata-rata peserta yang hadir di majlis tersebut melahirkan rasa kesyukuran atas penyerahan RTB berkenaan.

Usaha untuk mendapatkan lot tapak kediaman yang terletak di kawasan Perasing Jaya Fasa 2 itu mula giat dilakukan semenjak lebih dua tahun yang lalu.

Difahamkan, para peserta yang terdiri daripada generasi kedua anak-anak peneroka di Felda Neram 1 kurang berkemampuan untuk membeli kediaman sendiri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Air Putih, Ab RAzak Ibrahim ketika ditemuramah berkata, kejayaan yang dicapai pada hari ini merupakan hasil usaha sama daripada pelbagai pihak dalam memastikan RTB itu dapat diserahkan kepada mereka yang lebih memerlukan misalnya kepada generasi kedua peneroka felda ini.

“Pihak kami akan terus komited dalam menyelesaikan isu berkaitan RTB ini. Diharapkan agar dengan terlaksananya salah satu manifesto PRU14 ini, dapat mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh rakyat untuk memiliki kediaman sendiri,” ujar beliau kepada wartawan.

Jutaan terima kasih diucapkan kepada pihak yang terlibat khususnya Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Felda Neram 1 dan Pusat Khidmat Masyarakat Dun Air Putih yang telah berganding bahu membantu melancarkan proses mendapatkan lot tapak kediaman.


Tag: