• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Tuntutan Bertindih Selesai, Bantuan Banjir Diagih April

KUALA TERENGGANU, 10 Mac – Pembayaran bantuan tunai kepada mangsa banjir di seluruh Terengganu akan diagihkan bermula awal bulan April ini selepas masalah 'double claim' berjaya diselesaikan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat berkata tuntutan bertindih menjadi punca kelewatan agihan bantuan tunai kepada mangsa banjir di negeri ini.

Katanya, terdapat pasangan suami isteri yang dikesan mengemukakan tuntutan sama di kawasan berlainan demi kepentingan sendiri.

“Tindakan itu menyebabkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pejabat Daerah terpaksa melakukan semakan serta penyelarasan semula untuk mengelakkan masalah ketidakadilan berlaku.

"Di samping, bagi memastikan agihan dilakukan dengan adil dan saksama kepada semua mangsa banjir,” katanya ketika dihubungi oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman pada hari ini.

Tambah Hanafiah, data mangsa banjir yang telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) adalah sebanyak 17,000 Ketua isi rumah (KRI).

“Sebanyak RM17 Juta telah diberikan kepada seluruh daerah masing-masing melibatkan jumlah KIR tersebut.

"Di peringkat pentadbiran negeri, pihak kami telah menerima data-data mereka yang tidak duduk di PPS dan terkepung akibat banjir.

“Data-data tersebut telah berjaya diperolehi seterusnya akan diangkat peruntukan dengan kerajaan negeri sebanyak RM27 juta melibatkan 27,000 KIR di seluruh negeri ini,” katanya.

 


Tag: