• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

UAI Bakal Gegarkan TMBS Wakaf Mempelam Malam Ini

KUALA TERENGGANU, 27 Jun – Daie Sejuta Umat, Ustaz Azhar Idrus (UAI) akan hadir bagi mengisi slot Forum Khas Bersempena Hari Arafah di Karnival Terengganu Maju Berkat Sejahtera (TMBS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam, malam ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata Karnival TMBS itu diadakan bersempena dengan Hari Raya Aidiladha yang akan disambut tidak lama lagi.

“Program yang bertempat di Dataran Surau Al Iman Kampung Losong Panglima Perang itu akan berlangsung selama dua hari bermula 26 sehingga 27 Jun ini.

“Pelbagai aktiviti yang disediakan khusus buat kaum lelaki mahupun perempuan serta pelbagai hadiah dan cabutan bertuah menarik menanti pengunjung yang hadir.

 “Hadiah utama iaitu beberapa buah motosikal, peti sejuk dan pelbagai lagi,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi miliknya pada hari ini.

Tambah Wan Sukairi, semua aktiviti dan acara yang dipertandingkan sesuai kepada semua lapisan umur dengan pengisian yang menarik disediakan.

“Antaranya pertandingan sukaneka berasingan lelaki dan wanita, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak dan pelbagai lagi pengisian.

“Turut disertakan pengisian rohani di tapak program itu yang akan disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim yang akan membawa tajuk kuliah iaitu ‘Lambaian Mekah Tetamu Allah' pada malam ini.

“Pada hari akhir karnival turut diadakan Jamuan Rakyat dan Forum Khas Bersempena Hari Arafah yang akan disampaikan Ustaz Azhar Idrus bersama Moderator, Ustaz Kamaruzzaman Abdullah," ujarnya.

 

 


Tag: