• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

UAI, Zizan Berganding Dalam Sambutan Ambang Kemerdekaan Esok

KUALA TERENGGANU, 29 Ogos – Pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus dan Pelawak terkenal, Zizan Razak akan kembali bergandingan dalam Program Ambang Kemerdekaan Yang Ke-64 pada malam esok.

Forum secara atas talian pada jam 9.30 malam itu menampilkan gabungan dua ikon kelahiran negeri pada kali kedua sejak penampilan terakhir pada tahun 2012.

Majlis santai tersebut turut disertai Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Kamaruzzaman Abdullah sebagai moderator.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, acara tersebut dianjurkan Kerajaan Negeri bagi menggalakkan aktiviti kecintaan tanah air dalam kalangan masyarakat khususnya kepada warga belia.

“Walaupun berdepan dengan kekangan COVID-19, program-program secara dalam talian bermula malam ini yang akan diuruskan i-MiTS akan diteruskan bagi menerap nilai cakna dan semangat patriotik kepada negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Malam ambang kemerdekaan tersebut kemudiannya akan diisi dengan ucapan daripada pimpinan dan orang awam serta ucapan khas oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan diakhiri dengan gimik kemerdekaan dan bacaan Asmaul Husna.