• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

UBSNT Buka Kaunter Di KTCC, Galak Masyarakat Daftar Vaksin

KUALA TERENGGANU, 2 April- Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) membuka kaunter pendaftaran di KTCC Mall bagi menggalakkan orang ramai mendaftarkan diri dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Timbalan Pengarah UBSNT, Ahmad Zul Karami Salleh berkata, pembukaan kaunter pentaftaran itu merupakan inisiatif pihaknya menyemarakkan kempen daftar vaksin sekali gus membantu kerajaan meningkatkan kadar pendaftaran vaksin COVID-19 di negeri ini yang masih rendah.

"Sukarelawan pendaftaran vaksin COVID-19 telah kita lancarkan secara rasmi pada Isnin lalu dan telah mula bergerak termasuk di tempat tumpuan awam dan dari rumah ke rumah.

"Hari ini, kita buka kaunter di KTCC Mall yang menjadi tumpuan ramai bagi memberi pemahaman kepada pengunjung dan orang ramai mengenai kepentingan mengambil suntikan vaksinasi ini dengan dibantu sukarelawan terlibat," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di kaunter pendaftaran terbabit kelmarin.

Menurut beliau, para sukarelawan bergerak dari tingkat ke tingkat di pasar raya berkenaan untuk membantu orang ramai membuat pendaftaran secara 'online'.

"Kita letakkan sasaran seramai 200 orang akan mendaftar pada hari ini dimana KTCC Mall merupakan lokasi tumpuan awam pertama yang kita buka kaunter pendaftaran.

"Selepas ini, UBSNT akan bergerak ke tempat tumpuan awam yang lain termasuk pasar malam, pasar pagi dan sebagainya," ujarnya.


Tag: