• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

UCB Tawar Pengajian PhD Mulai Tahun Depan


Graduan yang berminat menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) berpeluang meneruskannya di Kolej Universiti Bestari (UCB), bermula awal tahun depan.
Naib Canselor, UCB Prof. Dr. Aziz Yusof berkata, program PhD yang pertama bakal ditawarkan adalah di bidang pengurusan dan pentadbiran.
"Seramai antara 10 dan 15 pelajar dijangka akan mengikuti pengajian ini yang akan dibuka permohonan dalam masa terdekat ini dan terbuka kepada semua yang layak,"katanya.


Menurutnya, UCB juga menyediakan diskaun yuran bagi mengurangkan bebanan pelajar bagi meneruskan pengajian mereka.
Sementara itu, seramai 431 graduan UCB menerima ijazah dan diploma masing-masing di Majlis Konvokesyen UCB ke-3 yang diadakan di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, semalam.
Graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing yang disampaikan Canselor UCB, Tan Sri Samsuddin Osman.
Anugerah Emas Pengerusi Eksekutif dimenangi oleh Wan Sharida Fazreen Wan Jusoh graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Perniagaan (Kepujian) Fakulti Ekonomi Dan Pengurusan.
Manakala Fahin Najdah Abdul Razak, Amira Nasuha Abd Jamil dan Wan Azie Yusrina Farida Wan Yusof pula dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Graduan Terbaik.

Tag: