• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

UIAM, UM Juara Debat Diraja 2022

KUALA NERUS, 25 Oktober - Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Malaya (UM) muncul juara bagi dua kategori yang dipertandingkan dalam Debat Diraja Antara Institut Pengajian Tinggi 2022.

Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan mencemar duli menghadiri Majlis Pertandingan Akhir Debat Diraja Antara Institusi Pendidikan Tinggi 2022 bertempat di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, UniSZA kampus Gong Badak di sini.

Keberangkatan tiba Baginda pada jam 9.30 pagi diiringi Yang Amat Mulia Paduka anakanda-anakanda Sultan Terengganu iaitu Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja.

Turut mengiringi Baginda ialah Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali dan Tengku Seri Bijaya Raja, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu.

UIAM muncul juara bagi kategori Bahasa Melayu manakala UM juara bagi kategori Bahasa Inggeris membolehkan setiap kumpulan membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000 beserta piala dan sijil penyertaan.

Semua hadiah tersebut disampaikan oleh Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dengan diiringi Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Sebanyak 53 pasukan dari 24 IPT di seluruh Malaysia menyertai debat tersebut yang diadakan secara dalam talian bagi pusingan awal dan akhir, manakala pertandingan secara bersemuka bagi pusingan separuh akhir dan akhir diadakan bermula semalam dan berakhir kelmarin.

Debat Diraja ini mempertandingkan tiga kategori iaitu Kategori Utama Bahasa Melayu, Kategori Utama Bahasa Inggeris dan Kategori Muda Bahasa Melayu yang membabitkan 213 peserta.

Terdahulu, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian berkata program ini telah menjadi salah satu program “signature” untuk melahirkan para mahasiswa yang cemerlang bukan sahaja daripada segi akademik malah sahsiah dan berketerampilan. 

Penganjuran kali ini melibatkan kerjasama antara Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM) serta UniSZA selaku tuan rumah pertandingan.

 

 

 

 

 

 

 


Tag: