• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Ulama Malaysia Perlu Bersatu Hati

KUALA TERENGGANU, 5 Disember - Kerajaan Terengganu menggesa ulama dan ahli agama di Malaysia bersatu hati serta menggembleng tenaga dalam mempertahankan jati diri umat Islam pada hari ini mengikut pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA).

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, setiap ijtihad bagi menentukan fatwa mestilah disepakati oleh semua ulama tanpa ada kepentingan.

Katanya, ia bagi memastikan anggota masyarakat tidak terkeliru sekali gus mengelakkan berlakunya perbalahan serta perpecahan.

"Hari ini ramai yang mendakwa dirinya sebagai seorang ulama dengan mengeluarkan ijtihad namun sebenarnya tidak layak untuk berbuat demikian kerana tidak cukup syarat, malah ada yang mengisytiharkan kepada orang ramai.

"Hasilnya ijtihad yang dikeluarkan telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat dengan memberikan gambaran buruk terhadap kedudukan ulama di Malaysia,"katanya.

Beliau berkata demikian, ketika merasmikan program Multaqa Ulama Nusantara Negeri Terengganu, di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, semalam.

Mengulas lanjut katanya, usaha memartbatkan akidah ASWAJA di Malaysia merupakan agenda penting bagi memastikan kelangsungan kemajuan umat Islam.

"Kesatuan akidah akan menentukan keseragaman langkah umat Islam menuju kejayaan.

"Dalam hal ini, pengembelingan usaha perlu dilakukan oleh seluruh umat Islam sama ada secara langsung atau tidak langsung," ujarnya lagi.