• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Ular Sawa Peliharaan Antara 'Mangsa' Banjir Teluk Kalong

KEMAMAN, 21 Disember – Seekor ular antara 'mangsa banjir' yang dipindahkan daripada perumahan Teluk Kalong selepas kawasan itu dinaiki air baru-baru ini.

Pemilik haiwan berlesen itu, Muhammad Afendi Khalid berkata, haiwan peliharan eksotiknya itu diletakkan di dalam akuarium ketika berlakunya banjir seawal 11 pagi kelmarin.

Menurut Afendi, 35, ular sawa spesis ‘Ball Phython’ tersebut kemudiannya dipindahkan ke sangkar rumah keluarganya sekitar jam 3.30 petang semalam selepas air mulai surut.

“Sebelum berpindah semalam, air naik hampir tiga kaki, sejengkal lagi nak sampai tingkat.

“Namun begitu, dua ekor ular betina yang saya ada selamat di dalam akuarium yang tinggi dan tidak dihanyut banjir.

Afendi yang mendiami rumah tersebut bersama isterinya, mengatakan bahawa ular tersebut selamat dan tidak berbisa.

“Jiran sekeliling juga sudah biasa dengan minat saya ini, ada hari biasa ada budak-budak sekeliling teruja datang ke rumah. Lesen pemeliharan haiwan reptilian dibayar setiap tahun dan ada sijil kelulusan,"ujarnya yang juga pekerja di Zoo Kemaman.

Afendi adalah diantara lebih 2,000 mangsa banjir besar di perumahan Rumah Mampu Milik (RMM), Teluk Kalong yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Universiti Kolej TATI.