• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

UMNO Kuala Nerus Bakal Bina Bangunan Baharu

Bangunan UMNO Kuala Nerus yang dijangka siap Februari tahun hadapan.

Bangunan UMNO Kuala Nerus baharu yang bakal dibina di Gong Badak dijangka akan siap menjelang Februari tahun hadapan.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata kos pembinaan bangunan lima tingkat tersebut mencecah RM12 juta dan ianya dibina melalui hasil kutipan derma yang diperolehi.

Katanya, melalui jumlah kutipan yang mencecah hampir RM15 juta tersebut, bangunan itu juga akan dilengkapi pusat konvensyen.

"Pusat konvensyen ini boleh memuatkan kapasiti 2,500 orang dalam satu masa yang boleh dijadikan 'international conference'.

"Ianya kerana di sini banyak kemudahan yang telah tersedia seperti lapangan terbang yang berdekatan selain mempunyai hotel," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Gerak Gempur Tawan 4P Parlimen Kuala Nerus dan Jentera Pilihanraya Serta Majlis Pecah Tanah Bangunan UMNO Kuala Nerus di Gong Badak, Kuala Nerus, hari ini.


Turut hadir, Ketua Puteri UMNO Malaysia, Dato' Mas Ermieyati Samsudin; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Dato' Basir Ismail dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Nerus , Khairuddin Abdul Majid.

Tambah Ahmad Razif, dengan keluasan penuh kawasan tersebut menjangkau empat ekar, pelbagai pembinaan lain akan dilakukan di situ untuk fasa seterusnya.

"Kita ada lebih kurang 3 ekar (1.21 hektar) lagi yang akan dibangunkan untuk tujuan komersial termasuk hotel dan juga kedai bagi membolehkan menjana satu pendapatan kepada UMNO Kuala Nerus.

"Tapi fasa yang seterusnya itu kita akan buat selepas siap bangunan baru UMNO ini. Kita jangka bangunan ini kita akan siap pada tahun hadapan," katanya.


Tag: