• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

UMNO Terengganu Hantar Bantahan Cadangan Persempadanan Semula DUN


Wan Nawawi ketika menerima agihan keuntungan daripada TDM Berhad  pada Majlis Penyampaian Replika Cek Kepada Agensi Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu. Foto oleh Zulkifli Putra
Badan Perhubungan UMNO Terengganu menghantar bantahan terhadap cadangan persempadanan semula membabitkan beberapa kawasan sebagai Dewan Undangan Negeri (DUN) yang baharu di negeri ini.

Pengerusinya yang juga Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman, berkata UMNO negeri menolak cadangan penamaan semula kawasan pilihan raya seperti Telemong kepada Sekayu dan Teluk Pasu kepada Buluh Gading.

Katanya, bantahan itu sekali gus menafikan dakwaan sesetengah pihak terutama pembangkang bahawa cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diterimapakai adalah sama sekali tidak benar.

"Di Terengganu banyak juga kawasan yang terbabit dengan cadangan persempadanan semula dan kita akan buat bantahan antaranya termasuk penukaran nama dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Telemong dan Teluk Pasu.

 "Faktornya ialah ada beberapa persempadanan semula yang membabitkan DUN kita yang kuat. Di DUN Telemong sebagai contoh, kita kehilangan beberapa ribu pengundi disebabkan persempadanan semula dan penukaran nama DUN ini.

  "Ini sekali gus membuktikan dan menafikan tohmahan pembangkang bahawa persempadanan semula ini memihak kepada kawasan pilihan raya yang dipegang Barisan Nasional (BN)," katanya

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Replika Cek Kepada Agensi Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.


Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail dan Pengawai Kewangan Negeri, Dato’ A Rahim Jusoh.

Ahmad Razif turut memberitahu, apabila wujud bantahan daripada kerajaan BN sendiri, ia membuktikan bahawa kerajaan dan BN tidak terbabit dalam keputusan menentukan persempadanan semula kawasan pilihan raya.


Tag: