• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

UMT Ajak Media Sembang Santai

KUALA TERENGGANU, 23 Julai - Berdepan dengan pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memilih cara tersendiri untuk merakamkan rasa terima kasih dan meraikan pihak media di negeri itu.

Naib CaNselornya, Profesor Dato’ Dr. Nor Aeini Mokhtar berkata, pihaknya mengambil kesempatan menzahirkan rasa terima kasih kepada media dengan pendekatan santai supaya kedua-dua pihak dapat berkerjasama lebih mesra dan erat pada masa akan datang.

“Sebelum ini rakan media diraikan dalam Majlis Anugerah Media (MAM), namun dengan keterbatasan UMT ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada sahabat-sahabat media yang sudi meluangkan masa pada petang ini. 

Durian jadi antara santapan utama majlis.

“Saya sangat berbesar hati mendapat kerjasama padu daripada rakan media dan saya percaya biar secanggih mana pun teknologi yang digunakan, sebagai seorang wartawan, etika, integriti serta tanggungjawab tuan tuan dan puan-puan di dalam menyalurkan bahan berita yang sahih dan tepat amatlah penting dan perlu diutamakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Santai Bersama Naib Canselor UMT di institusi tersebut, semalam.

Turut hadir, Presiden Kelab Wartawan Terengganu (KAWAT), Khairul Azlam Mohamad; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Mazlan Abd. Ghaffar serta Pro Naib Canselor (Hal Ehwal Korporat Dan Jaringan Industri), Prof. Dr. Fauziah Abu Hasan.

Dr. Nor Aeini turut melahirkan rasa simpati dengan kesukaran yang melanda dunia kewartawanan berikutan perubahan yang berlaku dalam medium penyebaran maklumat.

“Tahun 2019 dan 2020 merupakan tahun yang banyak menguji dunia kewartawanan di mana banyak syarikat-syarikat media terpaksa meminimakan operasi dan mengurangkan pekerja. Perkara ini secara tidak langsung memberi impak kepada keterlihatan UMT.

“Namun, harapan saya adalah agar segala kerjasama dan bantuan yang diberikan oleh rakan-rakan media ini berkekalan serta dapat dipertingkatkan lagi di masa hadapan,” katanya.


Tag: