• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

UMT Dan UniSZA Bergabung?


KUALA LUMPUR, 11 September - Jemaah Menteri pada 4 September lalu telah bersetuju secara prinsip dengan penggabungan Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Sultan Zainal Abidin.

Pejabat Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan hari ini berkata, penggabungan ini merupakan satu langkah yang wajar dilaksanakan bagi mempertingkatkan kualiti perkhidmatan dan memberi lebih nilai tambah kepada pelajar, fakulti serta komuniti setempat.

Malah, penggabungan ini dilihat sebagai salah satu transformasi penyampaian pendidikan tinggi terutamanya dalam memantapkan keupayaan universiti untuk mempertingkat kedudukan sosioekonomi, selaras dengan lonjakan 10 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025.

Lantaran itu katanya, kementerian amat positif dengan cadangan penggabungan ini dan kini sedang menyediakan kerangka bagi pelaksanaannya.

"Sebuah jawatankuasa khas sedang dibentuk yang dianggotai oleh wakil dari kalangan pegawai pentadbir, pensyarah, pelajar, serta juga wakil dari pelbagai agensi dan pihak berkepentingan bagi menggerakkan penggabungan ini yang dijangka mengambil masa enam bulan," ujarnya.

Tag: