• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

UMT ‘Diving School’ Cipta Sejarah Terima Lima Bintang

KUALA TERENGGANU, 29 Ogos -Pusat Selam Skuba Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menjadi universiti pertama di negara ini mendapat pengiktirafan lima bintang daripada Scuba School International (SDI) pada 23 Ogos lalu.

Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Mazlan Abd. Ghaffar berkata, pengiktirafan ini memberi impak secara langsung kepada UMT yang  menjadi pelopor kepada aktiviti selaman selamat yang berteraskan garis panduan dan piawaian yang digariskan oleh badan antarabangsa.

Katanya, UMT juga akan memainkan peranan dalam mendidik masyarakat menghargai ekosistem marin.

“Ini termasuk dalam mendidik masyarakat untuk menghargai populasi hidupan marin seperti spesis ikan Inggu dan mengawal aktiviti pencerobohan khususnya melalui aktiviti selam skuba di Pulau Bidong yang penuh dengan warisan sejarah, keunikan alam semulajadi dan arkeologi bawah air.

“Sementara itu, UMT Diving School akan terus diperkasa bagi menyokong pelaksanaan proses pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan, bertepatan dengan bidang tujahan UMT,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata, UMT merupakan universiti awam pertama yang memperolehi ISO 9001:2015 (Kualiti Sistem Pengurusan) bagi pengurusan latihan berkaitan perlesenan skuba perkhidmatan pendidikan. 

“Rentetan daripada pensijilan ISO tersebut, UMT Diving School telah memperolehi sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records. 

“Wakil daripada UMT Diving School telah mewakili Malaysia di bawah Jabatan Standard Malaysia bagi membangunkan ISO peringkat dunia berkaitan selaman scuba,” katanya.

Sementara itu,  Pengarah Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan (PPPL) UMT, Prof. Madya Dr. Hasrizal Shaari berkata UMT Diving School akan mengorak langkah bagi memperkasakan beberapa bidang selaman skuba yang penting iaitu selaman berkonsepkan edu-tourism, arkeologi bawah air, latihan-latihan selaman berfokus, penyelam perubatan dan selaman saintifik. 

“Perancangan jangka panjang UMT Diving School adalah untuk mendapatkan pengiktirafan daripada agensi-agensi kerajaan dan badan antarabangsa sebagai pusat latihan terkemuka di dalam bidang selaman scuba,” ujarnya.

Sebelum ini, Stesen Penyelidikan Alami Marin, Pulau Bidong telah dianugerahkan hak milik pajakan sementara atau TOL selama 99 tahun oleh Kerajaan Negeri Terengganu kepada UMT bagi menyokong aktiviti kurikulum, kokurikulum dan penyelidikan

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mencemar duli merasmikan pusat selam tersebut di Stesen Penyelidikan Alami Marin UMT, Pulau Bidong, pada 8 Ogos baru-baru ini.