• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

UMT Kekal Tersenarai Antara 200 Universiti Terbaik Asia

KUALA NERUS, 3 November -  Universiti Malaysia Terengganu (UMT)  kekal tersenarai antara 200 universiti terbaik Asia menerusi penarafan QS Asia University Ranking 2022 selama empat tahun berturut-turut sejak 2019.

Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Mazlan Abd. Ghaffar berkata berjaya meraih kedudukan 167 universiti terbaik Asia dalam dengan lonjakan 28 anak tangga berbanding tangga 195 tahun lalu.

Katanya, ia juga menyaksikan UMT berada pada kedudukan ke-16 universiti terbaik di Malaysia.

“Pencapaian memberangsangkan UMT menunjukkan tekad universiti untuk meningkatkan kualiti dan prestasi secara konsisten dalam pengajaran-pembelajaran, penyelidikan-inovasi dan pemindahan ilmu dengan matlamat untuk menjadi sebuah institusi pengajian tinggi yang dihormati.

“Kejayaan ini turut menyaksikan prestasi UMT naik dalam hampir semua indikator yang dinilai, dengan indikator pengantarabangsaan menyumbang markah tertinggi walaupun di saat dunia masih berdepan dengan pandemik COVID-19,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kejayaan tersebut adalah hasil komitmen dan kerjasama seluruh warga UMT dalam meningkatkan produktiviti yang berkualiti dalam usaha menempatkan universiti ini dalam kedudukan universiti terbaik dunia. 

QS Asia University Ranking ialah agensi beroperasi di United Kingdom yang membuat penarafan 687  universiti utama Asia.