• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

UMT Sumbang Zakat, Bantuan Komputer Riba Kepada Pelajar Asnaf

KUALA NERUS - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengagihkan sumbangan zakat bernilai RM1.3 juta serta bantuan komputer riba kepada pelajar asnaf dan golongan B40 di universiti itu.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar berkata, seramai 2,000 pelajar asnaf dan B40 menerima bantuan zakat manakala 100 pelajar asnaf lain menerima bantuan komputer riba bernilai RM200,000 sumbangan Lembaga Tabung Haji (TH) Malaysia.

"Impak kewangan yang dialami akibat pandemik Covid-19 sebelum ini begitu dirasai. Ia sedikit sebanyak telah menjejaskan kehidupan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) terutama dalam kalangan asnaf dan B40 kerana mereka memerlukan sumber kewangan mencukupi bagi menyokong aktiviti pengajaran dan pembelajaran di kampus.

"Kita percaya dengan adanya skim bantuan yang dilaksanakan ini sedikit sebanyak mampu meringankan bebanan yang dialami mereka," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Sumbangan Ramadan dan Syawal pada Isnin.

Menurut Mazlan, UMT melalui Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM) menggerakkan inisiatif itu bagi memastikan golongan terbabit tidak terpinggir dan dapat mengikuti pengajian dengan baik.

"Terdapat agensi dan sektor korporat bermurah hati memberikan sumbangan zakat, antaranya melalui Program Iqra' Tabung Haji berjumlah RM750,000.

"Sumbangan yang diberikan itu menunjukkan bahawa agensi korporat sentiasa meletakkan pendidikan sebagai elemen paling utama dalam pembangunan modal insan serta keprihatinan bagi memastikan golongan asnaf dan B40 ini tidak ketinggalan dalam pembelajaran," katanya.

Pada majlis berkenaan turut diadakan penyerahan sumbangan Bantuan Sukarelawan Asnaf sebanyak RM250 setiap seorang kepada 70 pelajar hasil sumbangan Syarikat Perumahan Kinrara Berhad- SINAR HARIAN