• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

UniSZA Beri Cuti Bencana Lapan Hari Kepada Pelajar

KUALA NERUS, 21 Disember - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menangguhkan semua aktiviti kuliah melibatkan pelajar prasiswazah dan pascasiswazah (mod kerja kursus dan campuran) susulan kejadian banjir yang melanda negara.

Naib Canselornya (Yang Menjalankan Fungsi), Prof. Dr. Fadzli Adam berkata, cuti bencana selama lapan hari bermula 19 hingga 26 Disember itu,  diberikan kepada pelajarnya yang terkesan.

“Bagaimanapun, bagi Fakulti Perubatan, hanya pelajar Tahun 1 sahaja yang terlibat dengan pelaksanaan cuti ini, manakala pelajar lain perlu mengikuti pembelajaran dan pengajaran (PdP) seperti biasa. 

“Pengurusan dan seluruh warga UniSZA mendoakan agar semua pelajar yang terlibat dengan bencana banjir dipermudahkan urusan, dikurniakan kesabaran serta dilindungi daripada perkara yang tidak diingini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, cuti bencana tersebut sebagai tanda kecaknaan dan keprihatinan pengurusan universiti terhadap kebajikan golongan sasar yang terjejas dengan musibah.

Fadzli berkata, mana-mana pelajar yang terjejas dan memerlukan bantuan boleh menghubungi Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) di talian 09-6687945 (Norsuhaila) dan 09-6687811 (Siti Aminah).

Katanya, mereka yang terlibat juga boleh menghubungi pihak fakulti masing-masing untuk sebarang bantuan.