• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

UniSZA Jalin Kerjasama Dengan TM One



KUALA TERENGGANU, 1 Oktober- Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menandatangani perjanjian perkhidmatan dengan Unit Rumusan Perniagaan Perusahaan dan Awam Telekom Malaysia Bhd (TM), TM One bagi penyediaan kapasiti baharu jalur lebar untuk sambungan internet berkelajuan tinggi melalui TM ONE Direct Internet Access dan Internet protocol Virtual Private Network (IPVPN).

Perjanjian itu ditandatangani Naib Canselor UniSZA, Prof Dato’ Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan dan Ketua Pegawai Eksekutif TM One, Ahmad Taufek Omar dalam satu majlis yang diadakan di Paya Bunga Hotel, semalam.

Hassan Basri berkata, jalinan kerjasama itu membolehkan UniSZA dan TM One melaksana transformasi digital bagi memacu ke arah era Pendidikan 4.0 yang dipengaruhi Revolusi Industri 4.0.

Katanya, dibawah perjanjian tersebut, TM akan menyediakan kapasiti baharu jalur lebar berkelajuan lima GBPS (Gigabit Per Saat) bagi tempoh lima tahun bermula Oktober tahun ini yang akan memberi manfaat kepada 13,000 warga UniSZA di tiga lokasi iaitu kampus utama Gong Badak, kampus cawangan di Tembila, Besut dan Kampus Perubatan, Kuala Terengganu.

“Sambungan internet yang dinaiktaraf ini adalah sebahagian daripada perjalanan tranformasi digital UniSZA ke arah mencapai Revolusi Industri 4.0 dan meningkatkan lagi kecekapan operasi universiti,” ujarnya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian perkhidmatan itu.

Sementara itu Ahmad Taufek berkata, kapasiti jalur lebar berkelajuan lebih tinggi itu akan meningkatkan lagi produktiviti UniSZA dan membolehkan komuniti kampus mengakses aplikasi berkaitan pendidikan yang kreatif dan inovatif dengan cara yang cepat dan lebih teratur.

“Dengan peningkatan penyambungan, pentadbir kampus, ahli akademik serta pelajar akan dapat berhubung dengan kampus lain dengan lebih pantas dan efisyen,” ujarnya.


Tag: