• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Unisza Kesan 139 Pelajar Terjejas Akibat Banjir

KUALA NERUS, 23 Disember - Seramai 139 pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) dan keluarga terkesan dengan bencana banjir yang melanda seluruh negeri.

Naib Canselornya (Yang Menjalankan Fungsi), Prof. Dr. Fadzli Adam berkata, daripada jumlah tersebut, 54 pelajar terjejas teruk dengan bencana banjir tersebut.

Katanya, Selangor mencatatkan jumlah mangsa pelajar  tertinggi iaitu 68 orang, diikuti Pahang(40) diikuti Kelantan (14) dan Terengganu (5).

"Kita juga turut mengenalpasti pelajar dari Johor, Kedah, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Perlis yang terlibat sama dengan bencana banjir.

"Banjir kali ini begitu teruk di beberapa negeri dan oleh itu, kita akan fikirkan bantuan kewangan di samping keperluan lain yang difikirkan perlu," katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media selepas pelancaran Misi Bantuan Pasca Banjir UniSZA di UniSZA, di sini, hari ini.

Seramai 100 sukarelawan melibatkan 50 pelajar dan 50 kakitangan UniSZA menyertai misi tersebut yang diadakan selama tiga hari bermula Jumaat.

"Sukarelawan tersebut akan membantu membersihkan rumah pelajar terjejas di sekitar Selangor bagi meringankan beban yang terpaksa ditanggung mereka selepas diuji musibah banjir,"ujarnya lagi.

Beliau berkata, selain itu UniSZA juga turut memberi bantuan makanan asas kepada mangsa banjir.

"Misi ini membabitkan dua buah bas, sebuah lori, tiga van dan tiga pacuan empat roda," katanya.