• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

UniSZA Kutip RM5.9 Juta Dana Wakaf Pendidikan

KUALA NERUS, 8 Ogos- Sebanyak RM5.9 juta berjaya dikutip oleh Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menerusi Dana Wakaf Pendidikan dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu sejak 2016 lalu.

Naib Canselor UniSZA, Prof. Dr. Fadzli Adam berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM3.3 juta merupakan wakaf tunai selain bertujuan membantu golongan pelajar yang memerlukan.

Menurut beliau, pihaknya sedang berusaha meningkatkan jumlah kutipan sehingga RM20 juta menerusi sumbangan badan korporat, individu serta potongan gaji bulanan kakitangan universiti.

“Di UniSZA terdapat pelajar daripada keluarga B40 atau asnaf dan bantuan diberikan dalam pelbagai bentuk seperti bantuan komputer riba, biasiswa wakaf serta pengecualian yuran pengajian.

“Selain wakaf pendidikan, UniSZA dan MAIDAM kini di peringkat perbincangan untuk mengadakan wakaf korporat dan wakaf saham dengan penubuhan sebuah syarikat wakaf.

“Hasil wakaf yang dikumpul nanti akan memberi manfaat kepada pelajar serta selari dengan hasrat MAIDAM untuk memperkasa agenda wakaf,” katanya selepas majlis menandatangani Memorandum Perjanjian antara UniSZA dan MAIDAM di sini, hari ini.

Pada majlis itu, UniSZA diwakili Dr. Fadzli manakala MAIDAM pula Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan.

Sementara itu, Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, sistem ekonomi Islam seperti wakaf boleh dilaksanakan dan menyelesaikan masalah ummah di negeri itu.

Sebagai contoh, katanya, wakaf kesihatan melalui pusat hemodialisis di Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu boleh membantu golongan asnaf mendapat rawatan dan dijangka beroperasi September depan.

“Kita sedia maklum kos penjagaan kesihatan semakin meningkat dan MAIDAM sendiri membelanjakan RM2 juta setahun untuk pesakit buah pinggang menerima rawatan,” katanya.