• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

UniSZA Peruntuk RM665 Ribu Bagi Bantu Golongan B40

KUALA NERUS, 27 April - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) memperuntukkan lebih RM665,000 bagi membantu seramai 23,863 penerima dalam kalangan B40 termasuk pelajar, komuniti setempat dan kakitangannya pada Ramadan kali ini.

Naib Canselornya, Prof. Dr. Fadzli Adam berkata ia dilaksanakan dalam pelbagai bentuk program yang memberi khidmat dan bantuan yang layak agar mereka bergembira menyambut Ramadan dan hari raya yang bakal tiba.

“Antara program yang dilaksanakan termasuk penyediaan juadah berbuka puasa, bantuan baucar tunai Food@Campus, zakat, peranti tablet dan pelan data di samping infaq Ramadan.

“Setiap program yang dijalankan, kejayaan, agihan sumbangan dan bantuan ini telah melibatkan komitmen secara langsung daripada pegawai-pegawai, para pensyarah, kakitangan serta mahasiswa dan mahasiswi UniSZA,”katanya kepada pemberita selepas Festival Ramadan di Masjid Unisza di sini semalam.

Sementara itu, Dr Fadzli  berkata pihaknya juga meneruskan tradisi sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 1 Syawal ini bagi meraikan kira-kira 300 pelajarnya yang tidak dapat pulang ke kampung halaman.

“Kebanyakan yang tidak dapat pulang ialah pelajar dari Sabah dan Sarawak di samping penuntut antarabangsa jadi kita raikan mereka agar dapat merasai suasana kemeriahan Aidilfitri di samping menikmati pelbagai juadah enak menerusi majlis yang diadakan di masjid,”ujarnya.