• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Vaksin 'Walk-in' Buat Penduduk Kuala Nerus Di UniSZA

KUALA NERUS, 24 Ogos - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah melancarkan program pemberian vaksin COVID-19 secara 'walk-in' di Dewan Al Muktafi Billah Shah (DABS), Kampus Gong Badak buat penduduk di daerah ini.

Penyelaras Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tersebut, Dr Nik Ahmad Shaifuddin Nik Him berkata, ia dibuka kepada individu berumur 18 tahun ke atas serta tidak mempunyai sejarah alergi teruk.

Katanya, inisiatif tersebut diadakan berdasarkan prinsip ‘first come, first serve’ bermula hari ini sehingga 26 Ogos (khamis) ini dan beroperasi pada waktu 9 pagi sehingga 3 petang.

“Syarat lain termasuk mereka yang terlepas temujanji vaksinasi di UniSZA, belum mendapat temujanji vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera atau belum mendaftarkan diri untuk vaksinasi dalam sistem tersebut.

“Ini tertakluk kepada bekalan vaksin yang kita dapat, nasihat saya bagi komuniti di daerah Kuala Nerus yang ingin disuntik agar membawa pen dan kad pengenalan atau pasport masing-masing," katanya ketika dihubungi UPDI hari ini.

UniSZA merupakan institusi pengajian tinggi (IPT) ketiga di negara ini menubuhkan sejak 13 Jun bagi membantu kerajaan menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).