• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

UniSZA, UMT Terima Bantuan Zakat RM3 Juta

KUALA NERUS, 17 April – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerima hampir RM3 Juta bantuan zakat.

Pada Majlis itu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah menyampaikan 'Mock Cheque' wang zakat kepada kedua-dua Universiti tersebut.

Naib Canselor UMT, Prof Dr Mazlan Abdul Ghaffar berkata, UMT sangat menyokong segala sumbangan dan usaha baik dari pihak kerajaan negeri mahupun di peringkat kerajaan pusat.

Katanya, UMT melalui Pusat Islam Sultan Mahmud telah menyediakan pelbagai aktiviti bagi mengimarahkan bulan yang mulia ini.

“Sebanyak 10 agensi telah menyumbang zakat untuk diagihkan kepada golongan pelajar asnaf UMT yang turut hadir bersama-sama kita pada petang ini.

“Semoga segala inisitif dan usaha murni ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang dan diharap lebih ramai lagi agensi yang turut sama menyumbang bagi membantu golongan yang memerlukan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Berbuka Puasa Malaysia Madani yang berlangsung di Dewan Sultan Mizan Zainal Abidin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) semalam.

Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Anwar dan Ahmad Samsuri turut menyempurnakan penyampaian zakat, dermasiswa, geran penyelidikan dan bakul Rahmah kepada UniSZA, UMT serta masyarakat setempat di sini.

Sebanyak RM1,115,211 sumbangan zakat melalui 10 agensi kepada UMT manakala UniSZA pula menerima sejumlah RM1,758,517 daripada tujuh agensi.

Agensi-agensi tersebut terdiri daripada Malayan Banking Berhad (Maybank), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan lain-lain agensi terlibat.

Program penyerahan bantuan UMT diadakan di Dewan Sultan Mizan Zainal Abidin manakala majlis penyerahan bantuan UniSZA pula diadakan di Masjid Universiti Sultan Zainal Abidin.

 

 


Tag: