• 11 Mei 2024 | 3 Zulkaedah 1445

UPDI Timba Pengalaman Kelantan

Mohd Soud (dua dari kiri).
KOTA BHARU, 27 Februari - Dalam usaha menambah baik sebaran maklumat berkaitan Kerajaan Terengganu, Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) menimba pengalaman daripada Urus Setia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan (UPKN) semalam.

Pengarahnya, Mohd Soud Said@Mat Ali berkata, UPKN boleh disifatkan sebagai abang kepada UPDI kerana mempunyai pengalaman yang sangat lama dalam bidang tersebut melebihi 30 tahun.

“Hasil lawatan kali ini, kita mendapat banyak input, perkongsian dan pengalaman dari Kelantan yang sememangnya kita tahu sudah lama bergiat dalam kerja menyampaikan maklumat kepada masyarakat ini.

“Kita melihat banyak idea dan sistem yang dijalankan di sini dari segi segmen dan penerbitan boleh diaplikasikan di UPDI nanti,” katanya.

Zulkifli Mamat.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam kunjungan ke Pejabat Operasi UPKN di sini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Dr Md Yusnan Yusof.

Kunjungan tersebut memperkenalkan tentang pengurusan dan teknologi penyiaran terbaharu yang boleh digunakan di peringkat kerajaan negeri.

Lebih menarik, Mohd Soud turut berkesempatan berbincang dengan Pengarah UPKN, Zulkifli Mamat mengenai kerjasama antara kedua-dua pihak pada masa akan datang.



Tag: