• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Jalur Gemilang Berkibar Megah Di Drawbridge

KUALA TERENGGANU, 30 Ogos - Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN) mengibar dan mengedarkan sejumlah Jalur Gemilang kepada orang ramai bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan Kali Ke-64, esok.

Pengarahnya, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, program itu diadakan bagi tujuan menyemai rasa cinta orang ramai khususnya masyarakat negeri ini terhadap negara.

"Di atas Jambatan Angkat (Drawbridge) Kuala Terengganu sebagai salah satu ikonik pelancongan negeri ini, kita mempromosikan kempen kibar jalur gemilang sempena hari kemerdekaan.

"Di samping sekali gus mempromosikan negeri Terengganu sebagai negeri pelancongan. Ia sebagai persediaan bahawa kita mampu melawan Covid-19 dan kembali seperti dahulu menerima kunjungan tetamu-tetamu dari dalam dan luar negeri Terengganu," katanya ketika ditemui pemberita pada Program Kibar Jalur Gemilang di Jambatan Angkat (Drawbridge) di sini, hari ini.

Menurut Ahmad Faisal, kempen jalur gemilang yang diadakan itu dalam masa yang sama bagi mengangkat semangat dan kebangkitan masyarakat negeri ini.

"Kita tidak tewas dengan bencana yang menimpa kita sebaliknya kita mencari peluang untuk mengembalikan semangat kebangkitan Terengganu semangat hari kemerdekaan," jelasnya.

Justeru, orang ramai diingatkan agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan serta mendapatkan suntikan vaksinasi untuk melawan pandemik ini bersama-sama.


Tag: