• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Usahawan Muda Tokoh Maal Hijrah OKU Terengganu

Ahmad Safuan.
KUALA TERENGGANU, 1 September - Ahmad Safuan Nizam Kamaruddin, 31, yang mencipta kejayaan dalam perniagaan seluar jeans sehingga ke peringkat antarabangsa menerima Anugerah Tokoh Orang Kelainan Upaya (OKU) sempena majlis sambutan Maal Hijrah 1441H/2019M peringkat negeri Terengganu di Stadium Negeri hari ini.

Pemilik jenama pakaian ‘Raw Denim House’ (RDH) itu menerima hadiah wang tunai RM3,000, plak dan sijil penghargaan yang disampaikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Ahmad Safuan yang mengalami masalah penglihatan pada mata sebelah kanan itu memulakan perniagaan di Jerteh, Besut pada tahun 2011 bersama abang dan rakan karibnya.

“Alhamdulillah, sehingga kini banyak tempahan telah diterima daripada pelanggan bukan sahaja dari dalam negara tetapi dari seluruh dunia seperti Jerman, Amerika Syarikat, Australia dan Switzerland.

“Anugerah ini memberi suntikan semangat untuk saya terus fokus dalam bidang ini agar RDH menjadi satu jenama terkenal di peringkat global dan mampu menyediakan peluang pekerjaan yang lebih baik kepada anak tempatan,” katanya ketika ditemui pemberita.

Beliau yang memiliki Sijil Kejuruteraan Mekanikal dari Kolej Universiti TATI berkata pada tahun ini, RDH turut menerima pembiayaan dari Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu sebanyak RM200,000 untuk operasi kilang baharu syarikatnya di Jertih.

Ketika ini, beliau turut bergerak aktif sebagai penceramah dalam program keusahawanan yang melibatkan golongan belia di seluruh Terengganu.

“Dalam masa terdekat, syarikat saya akan melancarkan laman web sendiri dan bekerjasama dengan sebuah platform perniagaan dalam talian untuk memasarkan produk RDH secara lebih sistematik,” tambah beliau.



Tag: