• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Usahawan Perlu Berdisiplin Untuk Berjaya

BESUT, 28 Oktober- Para usahawan berdisiplin dan bersungguh-sungguh bagi mencapai kejayaan dalam perniagaan.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu, Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, kerajaan negeri akan sedaya upaya untuk membantu usahawan-usahawan kecil terutamanya untuk meningkatkan taraf hidup.

"Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) begitu komited dalam penyediaan kemudahan kepada usahawan terutamanya di Besut ini.

"Contohnya menerusi program penyerahan kiosk sahaja, sudah ramai rakyat Terengganu yang mendapat manfaat daripda program ini terutamanya kepada yang kurang berkemampuan untuk memulakan perniagaan.

"Pelaksanaan program ini juga adalah selaras dengan hasrat kerajaan negeri agar gerai-gerai di Terengganu lebih bersih dan menarik. Menerusi pelaksanaan ini dijangkakan dapat menarik lebih ramai pelanggan dan membantu meningkatkan hasil jualan pengusaha," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Kiosk Transformasi Gerai Maju Terengganu di Dewan Sivik Kampung Baharu, semalam.

Pada majlis itu, lima penerima kiosk daripada Kampung Baharu, Besut mendapat manfaat daripada program YPU itu.

Katanya, kepada semua usahawan yang terpilih untuk menjalankan perniagaan di kiosk dihadapan Balairaya Kampung Baharu Kuala Besut ini diharapkan memberi tumpuan dan komitmen yang tinggi dalam menjalankan perniagaan dan seterusnya dapat meningkatkan pendapatan.

 "Kerajaan negeri telah memperuntukan sebanyak RM36,900 bagi penyediaan lima unit kiosk ini. Tahniah diucapkan kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Baharu yang mengambil inisiatif memohon kiosk supaya dapat memberi peluang penduduk kampung yang ingin memulakan perniagaan," ujarnya.


Tag: