• 04 Ogos 2021 | 25 Zulhijah 1442

Usahawan Perlu Cakna Masalah Dalam Masyarakat

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU, 7 April- Golongan usahawan yang berkemampuan dari segi kewangan hendaklah mengambil cakna masalah yang dihadapi dalam masyarakat di sekelilingnya.

Yang Dipertua Dewan Undangan negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, ia adalah tanggungjawab tidak langsung yang perlu dipikul bersama seperti mana menjalankan program tanggungjawab sosial (CSR).

“Golongan usahawan yang berada, yang diberikan rezeki lebih mereka ambil cakna yang mana golongan seumpama ini memberi kesan yang sangat baik kepada masyarakat,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program ‘Reunion SMTIZ, Dungun di Paya Bunga Hotel, baru-baru ini.

Mengulas lanjut berkenaan program tersebut, Dato' Yahaya memaklumkan, pertemuan sahabat Sekolah Menengah Tengku Intan Zaharah (SMTIZ), Dungun batch 77/78 itu dapat membina kembali ukhuwah yang terputus sekian lama dan dapat menjalinkan hubungan dengan pelbagai kepentingan.

“Kalau kita sebagai sebuah Alumni NGO, kita juga mempunyai kepentingan kepada kerajaan negeri.
 
“Oleh kerana itu barangkali ada di kalangan kawan-kawan kita dalam bidang kemahiran masing-masing, boleh mengambil inisiatif  untuk berbincang dengan mana-mana pihak, samaada Menteri Besar, Exco dan pelbagai jabatan kerajaan untuk mengambil manfaat  daripada kemahiran dan pengalaman yang ada pada kawan-kawan kita,” ujarnya.

Dato Yahaya menambah, tanggungjawab sebenar bukan sekadar kepada diri sendiri, keluarga tetapi kita punyai  kewajipan sosial pada masyaarakat.

“Sebab kekuatan yang ada pada masyarakat ini adalah penting untuk kita bina.

"Yang pertama kekuatan dari segi ukhuwah, kedua, nak melahirkan pemimpin yang adil samada pemimpin dari segi politik, pentadbiran, pemimpin keluarga  supaya kekuatan yang ada pada kepimpinan itu boleh memberikan manfaat yang besar dalam kepimpinan kita. 

“Yang ketiga dalam kehidupan kita perlu berdamping bukan sahaja kita nak berdamping dengan orang berilmu dan pelbagai profesion sahaja tetapi harus dengan ulamak pewaris nabi sebagai  pembimbing dalam kehidupan dengan peringatan daripada Al Quran dan Hadis,” tambah Dato Yahaya.