• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Ustaz Abdullah Khairi, 12 Lagi Pendakwah Selebriti Terima Tauliah di Terengganu

KUALA NERUS, 29 September - Seramai 12 orang pendakwah selebriti menerima tauliah mengajar agama oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), M Rozi Bidin berkata, kumpulan pendakwah tersebut menerima sijil tauliah pada sesi temu duga hujung Mei lalu bersama-sama Ustaz Azhar Idrus.

Katanya, antara selebriti terlibat ialah PU Syed (Syed Mohd Bakri Syed Ishak), Abdullah Khairi Haroon, Prof Madya Datuk Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, Ahmad Rizam Ghazali dan beberapa lagi.

“Tauliah mengajar yang dikeluarkan oleh Maidam itu sah untuk tempoh lima tahun bermula 1 Julai 2023 sehingga 30 Jun 2028.

“Tujuan tauliah tersebut bagi menyampaikan ceramah umum dan mengajar agama Islam berkitab di negeri ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri di Stadium Tertutup Negeri Gong Badak di sini, kelmarin.

Tambah M Rozi, setakat ini lebih 1,300 termasuk pendakwah selebriti yang menerima tauliah daripada Maidam.

Tambahnya, pihaknya juga menggalakkan mana-mana individu yang berkelayakan dari segi ilmu agama untuk memohon mendapatkan tauliah mengajar dan ceramah di masjid dan surau di seluruh Terengganu.

“Permohonan mereka akan dinilai dari beberapa aspek dan kriteria oleh satu jawatankuasa yang diketuai Mufti Terengganu, Datuk Mohamad Sabri Harun.

“Bagaimanapun, bukan semua permohonan akan diluluskan kerana kriteria itu perlu dipatuhi sepenuhnya dan setelah diberi kelulusan.

“Ia perlu dipersembahkan untuk mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin,” ujarnya.


Tag: