• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

Ustaz Ariffin Lepas 360 Peserta ‘Primula Charity Ride’ Semalam

Ariffin (lima dari kanan) melepaskan peserta ‘Primula Charity Ride’ di Perkarangan Primula Beach Hotel di Batu Buruk Kuala Terengganu malam semalam.

KUALA TERENGGANU, 30 Ogos – Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri Ustaz Ariffin Deraman melepaskan (Flag Off) seramai 360 peserta Program ‘Primula Charity Ride’ di Perkarangan Primula Beach Hotel di Batu Buruk di sini malam semalam.

Pengurus Besar hotel itu Suaibah Harun berkata program tersebut diadakan berkolaborasi dengan Terengganu Cycling Team (TSG) bertujuan bagi mengutip  derma untuk Majlis Aids Malaysia bagi meringankan beban tanggungan kos perubatan pesakit-pesakit Aids.

Katanya, dengan penyertaan itu menandakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap kesungguhan dan kegigihan semua pihak bagi membela nasib dan menjaga kebajikan pesakit Aids.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan akhbarnya sempena program tersebut yang diedarkan kepada media semalam.
Suaibah (kiri) mengedarkan Jalur Gemilang kepada pengguna jalan raya di hadapan jalan masuk Primula Beach Hotel Batu Buruk Kuala Terengganu.

Baru-baru ini media melaporkan jumlah bilangan pesakit HIV dalam kalangan homoseksual di Terengganu menunjukkan peningkatan berbanding mereka yang menggunakan suntikan.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Mohd Jusoh berkata, ‘trend’ risiko jangkitan HIV mula berubah daripada aktiviti berkongsi jarum kepada aktiviti sosial seks bebas.

Katanya, pada tahun 2018 risiko jangkitan disebabkan homoseksual meningkat kepada 37.1 peratus berbanding 27.1 peratus.

Dalam satu kenyataan lain Suaibah berkata, sempena Menyambut Hari Kemerdekaan Kali Ke-62, hotel tersebut turut mengadakan Program Agihan Jalur Gemilang petang semalam.

“Objektif utama program ini adalah untuk menyambut baik gesaan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad agar rakyat mengibarkan Jalur Gemilang bagi memeriahkan lagi sambutan Hari Kemerdekaan yang akan berlangsung pada 31 Ogos ini (esok),” jelasnya.

Program itu juga katanya, bertujuan mengeratkan hubungan di antara warga kerja Primula dengan masyarakat sekitar di samping memupuk semangat cinta dan kesetiaan kepada negara.

“Mengebar bendera adalah cara mudah sebagai tanda kita menjiwai semangat patriotik dalam diri masing-masing. Kibarkan Jalur Gemilang, Sayangi Malaysia ku, Malaysia Bersih,” ujarnya.


Tag: