• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Ustaz Azhar Sokong Kerajaan Terengganu Sekat Filem Pulau

KUALA TERENGGANU, 22 Februari - Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus menyokong penuh tindakan kerajaan Terengganu yang mengharamkan tayangan filem pulau di negeri terbabit.

Ujar Ustaz Azhar, kerajaan negeri membuat keputusan tepat demi menjaga kepentingan awam termasuk menggelakkan rakyat terpengaruh dengan perkara mungkar yang ada dalam filem terbabit.

“Kalau saya jadi Menteri Besar Terengganu pun saya tak akan benar (ditayangkan) kerana kita akan menanggung kemurkaan Allah.

“Selagi mana kita ada kuasa untuk menyekat perkara mungkar kita perlu sekat, jadi tahniah kepada kerajaan negeri,” katanya ketika menyampaikan kuliah dalam program Terengganu Hijab Day (THD) di Dewan Perdana, Kompleks Pentadbiran Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus kelmarin.

Menurut Ustaz Azhar, pihak penerbit juga tiada hak untuk memarahi kerajaan Terengganu atas tindakan ‘mengharamkan’ filem itu di pawagam negeri terbabit.

“Mereka mahu menayangkan filem yang melanggar peraturan kerajaan negeri (tak wajar), nak masuk rumah orang kena ikut peraturan tuan rumah.

“Jadi saya nasihatkan kepada pengarah-pengarah filem supaya menghasilkan filem yang lebih baik,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan Terengganu membuat keputusan menyekat filem kontroversi berjudul Pulau daripada ditayang di pawagam di negeri terbabit kerana terdapat unsur-unsur ‘soft porn’.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan tersebut dicapai bagi menterjemahkan slogan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera.

“Kita di Terengganu berusaha untuk kekalkan negeri ini dalam keberkatan seiring slogan yang dibawa.

“Berkat ini tidak nampak di atas pentas, maka menjadi tugas dan tanggungjawab kerajaan bagi menjaga moral dan semua hal terlibat ke arah mencari keberkatan bagi sesebuah negeri,” katanya.

 


Tag: