• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Ustaz Mad Kecik, Rahmat Makasuf Ikon Belia DUN Telemong

 

HULU TERENGGANU, 21 September - Pendakwah bebas yang sedang meningkat naik, Ustaz Muhammad Abdullah (Ustaz Mad Kecik) dan pemain sayap Terengganu FC, Rahmat Makasuf antara penerima Anugerah Ikon Belia Belia Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong sempena pelancaran Kelab Belia Sahabat Sejahtera Telemong. 

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Pengarah Urusetia Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu (UBSNT), Ustaz Nasir Abdul Razak. 

Selain itu beberapa individu turut menerima anugerah ikon belia mengikut kategori usahawan berjaya antaranya Adi Aizuddin Bahari (Pengusaha produk sejuk beku), Dzulkifli Ismail (Ternakan arnab, puyuh, ayam kampung dan telur itik), Wan Muhammad Wan Lazim (Teranakan lembu dan kelulut) dan Suhaizat A. Rani (Automotif) 

Sementara itu, Pengerusi Belia Sahabat Sejahtera Telemong, Ustaz Mohamad Yusuf, menyifatkan pengurniaan anugerah tersebut sebagai pembakar semangat untuk penerima agar terus berusaha dan menjadi contoh yang  baik khususnya kepada golongan belia. 

"Anugerah ini diberikan bagi menghargai sumbangan belia dan sekaligus memberi semangat kepada golongan belia untuk lebih proaktif, " katanya

Beliau berkata demikian ketika ditemui seusai Majlis Makan Malam dan Perasmian Kelab Belia Sahabat Sejahtera Telemong, di Perkarangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Telemong, baru-baru ini.

‌Turut hadir dalam majlis berkenaan, Pegawai Penyelaras Dun Telemong, Encik Mohd Safari Abu, Pengerusi Penaja Persatuan sahabat Sejahtera Negeri Terengganu Ustaz Irsyad Syafiq, Pegawai Khas Exco Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu Wan Mohd Ikhwan Wan Arif, Pengerusi Majlis Belia Daerah Hulu Terengganu, Mukhri Mamat dan Wakil Penaja Kelab Sahabat Sejahtera Daerah Hulu Terengganu, Ustaz Hamdi Harun.