KEMAMAN, 13 Ogos – Sidang Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia Terengganu berlangsung hangat apabila isu lambakan warga Rohingya dibangkitkan menerusi usul tergempar berkaitan penolakan kemasukan serta tindakan lebih tegas terhadap komuniti berkenaan.
ADUN Belia Chukai, Aina Adam berkata, isu jenayah yang dikaitkan dengan warga Rohingya perlu diberi perhatian serius susulan beberapa kes yang mencetuskan kebimbangan masyarakat, termasuk kes rogol membabitkan seorang wanita Orang Kurang Upaya (OKU) intelektual di Kemaman baru-baru ini.

“Sebab saya memang orang Chukai. Sudah semestinya menjadi tanggungjawab saya untuk bawa isu ini ke dalam sidang DUN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Sidang Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia Terengganu, baru-baru ini.
Sementara itu, ADUN Belia Kemasik, Fakhruddin Nordin berkata, kerajaan perlu mengambil pendekatan lebih tegas dan menyeluruh dalam menangani isu melibatkan warga Rohingya, khususnya dari aspek keselamatan dan kebajikan masyarakat setempat.

“Walaupun ADUN Belia bukanlah sebuah badan legislatif yang sah, tetapi kerajaan perlu cakna dengan isu lapangan,” katanya menerusi kenyataan di akaun Threads.
Menurutnya, platform DUN Belia wajar dimanfaatkan sebagai ruang untuk membawa suara anak muda serta isu yang berlaku secara langsung dalam masyarakat kepada perhatian kerajaan.
Terdahulu, Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia Terengganu berlangsung pada 10 dan 11 Ogos 2026 di Wisma Darul Iman. Seramai 37 wakil ADUN Belia yang terlibat bagi membawa usul berdasarkan Kluster masing-masing.