• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

USWa Bakal Adakan Persidangan Wanita

KUALA TERENGGANU, 30 September - Urus Setia Wanita Negeri Terengganu (USWa) bakal menganjurkan satu persidangan yang mengumpulkan badan bukan kerajaan (NGO) yang berlatarbelakangkan wanita.

Pengarahnya, Wan Nur Sakinah Din, berkata persidangan itu dinamakan sebagai Persidangan Wanita Inspirasi Terengganu 2020 (WINTER 2020) dan dijadualkan akan berlangsung pada bulan November nanti.

"Persidangan yang dirancang pada bulan November ini adalah persidangan wanita-wanita Terengganu yang julung kali sebenarnya diadakan.

"Dengan menyasarkan pimpinan NGO, ahli akademik dan profesional, agamawan, agensi kerajaan dan pelbagai pihak lagi.

"Persidangan ini bakal menjadi medium perbincangan ilmiah untuk wanita Terengganu menyampaikan cadangan dan idea untuk agenda pembangunan wanita di Terengganu khususnya,"ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), semalam.

Sakinah turut melahirkan harapan agar persidangan ini dapat memberi impak dan manfaat yang besar dalam menggalakkan keterlibatan wanita dalam agenda pembangunan kerajaan Negeri Terengganu.

Untuk rekod, persidangan NGO Wanita ini pertama kali dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu dan telah dijayakan oleh USWa.