• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

USWa Berdiri Teguh Bersama Bibi Muskan Khan

KUALA TERENGGANU, 11 Februari - Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) berdiri teguh menyokong wanita muslim di India yang berjuang menuntut pengharaman pemakaian hijab kepada anak-anak mahasiswa dan pelajar sekolah ditarik balik.

Pengarahnya, Cik Wan Nur Sakinah Din berkata, beliau menyifatkan tindakan Bibi Muskan Khan menunjukkan keberanian beliau menentang larangan memakai tudung di kolejnya perlu dicontohi.

"USWa juga berpendapat larangan tersebut bercanggah dengan perlembagaan India yang memberikan kebebasan dan menjamin hak asasi kemanusiaan kepada semua penduduknya dalam pemakaian seharian warganya," jelasnya dalam satu kenyataan media, hari ini 

Oleh itu, bersempena Hari Hijab Terengganu (Terengganu Hijab Day) yang akan dilancarkan pada esok, 12 Februari, USWa menyeru semua wanita Islam menyempurnakan dan teguh  mempertahankan hijab atau pakaian bertudung, sebagai maruah muslimat sejagat.

"Sayugia, marilah kita menzahirkan solidariti kepada semua wanita Islam yang ditindas.

"Dan dipinggirkan seluruh dunia hanya semata-mata kerana kesungguhan mereka mempertahankan akidah Islam, mewajibkan menutup aurat," tegas beliau.

Justeru itu, beliau menyeru seluruh wanita Islam di negeri Terengganu agar meningkatkan ukhuwah silaturrahim, persefahaman dan perpaduan bagi mewujudkan kesatuan yang kukuh serta padu.


Tag: