• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

KUALA TERENGGANU, 1 Disember - Kewujudan Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) sangat tepat dalam memperkasa peranan golongan wanita di samping memelihara kebajikan mereka di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Dan Kebajikan, Hanafiah Mat berkata, penubuhan USWa bagi menjaga kedudukan golongan berkenaan seiring dengan hasrat dan kehendak rakyat.

"Insya Allah menerusi USWa kita akan menggerakkan proses kerja melibatkan agensi-agensi kerajaan dalam merealisasikan hasrat dan sasaran kewujudan Pelan Dasar Wanita Terengganu 2030," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu, Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri Terengganu Keempat Belas (Bajet), di Wisma Darul Iman, pada semalam.

Menurutnya, sejak penubuhan awal tahun lalu, USWa menyediakan medium terbaik kepada kaum hawa dalam membentuk jati diri serta personaliti muslimah yang unggul.

"Program-program seperti Sambutan Hari Sayyidatina Aishah, Wanita Bijak Wang, Jelajah Untukmu Wanita, Persidangan Wanita Inspirasi Terengganu atau WINTER serta pelbagai ziarah kebajikan wanita melibatkan kerjasama setiap Parlimen dan DUN  dilaksanakan.

"Syukur dan syabas diucapkan kepada USWa kerana dengan gerak kerja melibatkan team Mawaddah dan golongan profesional terpilih serta pemantauan rapi oleh ADUN Wanita akhirnya Pelan Dasar wanita Terengganu 2030 berjaya dirasmikan oleh Hajah Siti Zailah Mohamad Yusof, Yang Berhormat Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat pada tahun ini," ujar beliau.

Justeru itu, beliau menyambut baik saranan yang dikemukan idea dan cadangan oleh ADUN Wanita, Zuraida Md Noor pada semalam.

"Saya cukup percaya menerusi USWa disamping kerjasama agensi-agensi berkaitan NGO kita akan menterjemahkannya sebaik mungkin demi manfaat masyarakat khususnya," tambah beliau lagi.


Tag: